Melaka: Seorang penghantar barang hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh daripada tuduhan mengedar 10.8 kilogram dadah jenis syabu yang didakwa berlaku empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Yee Kok Chong, 44, ketika akhir kes pembelaan.

Mahkamah juga mendapati bahawa pihak pendakwaan tidak memanggil seorang saksi penting, Tan Chee Keong, yang ditawarkan kepada pihak pembelaan, atau mengemukakan rakaman keterangannya — sesuatu yang telah menjejaskan peluang pembelaan tertuduh secara adil.

Yee Kok Chong, 44, terlepas tuduhan mengedar dadah. Gambar Harian metro.

“Disebabkan kegagalan pendakwaan memanggil saksi berkenaan serta tidak mengemukakan keterangannya, mahkamah berpandangan tertuduh tidak diberi peluang membela diri sepenuhnya. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan,” kata hakim.

Menurut Mohd Radzi, walaupun pada awalnya pendakwaan menganggap saksi itu tidak penting, mereka kemudian cuba menangguhkan perbicaraan untuk memanggilnya selepas isu berkenaan dibangkitkan semasa pemeriksaan balas terhadap pegawai penyiasat, yang merupakan saksi pendakwaan kelapan.

Bagaimanapun, permintaan tersebut ditolak kerana saksi itu bukanlah muncul secara mengejut — sebaliknya, pernah dituduh bersama tertuduh sebelum ini di Mahkamah Majistret, tetapi pertuduhan terhadapnya tidak diteruskan apabila kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan menutup kes tanpa memanggil Chee Keong, yang juga sepupu tertuduh, dan hanya menawarkannya sebagai saksi pembelaan.

Tertuduh sebelum ini didakwa mengedar dadah Methamphetamine seberat hampir 10.9 kilogram di atas bangku kayu berhampiran Persimpangan Lereh 3, Melaka Tengah, pada 14 Januari kira-kira jam 7.05 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh juga boleh dikenakan minimum 15 sebatan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Saleh, manakala tertuduh diwakili peguam M Haresh dan Ramzani Idris.