Malaysia berpotensi meraih manfaat besar hasil daripada ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, menurut Penganalisis Pasaran, Dr Amran Ahmad. Beliau berkata, negara ini mampu memperoleh kelebihan sekiranya dapat menarik pelaburan penyumberan luar dari China untuk tujuan eksport ke AS.

Penganalisis Pasaran, Dr Amran Ahmad
“Situasi ini memberi kelebihan dua hala — China dapat mengekalkan jumlah eksport mereka melalui peralihan pemasangan produk ke Malaysia, manakala pengguna AS masih boleh mendapatkan produk China yang dihasilkan semula di Malaysia pada harga yang kompetitif, tanpa terkesan sepenuhnya oleh tarif tinggi,” katanya kepada Mynewshub.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan supaya kesemua 31 memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani semasa lawatan Presiden China, Xi Jinping, dilaksanakan tanpa lengah. Menurut jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, arahan itu disampaikan dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, bekas Presiden AS, Donald Trump mengakui bahawa kadar tarif ke atas barangan dari China yang mencecah 145 peratus adalah tinggi, tetapi menjangkakan ia akan diturunkan secara berperingkat.
“Ya, memang tinggi. Tetapi kadar itu tidak akan kekal lama. Isu seperti fentanyl turut menyumbang kepada lonjakan tersebut. Kita akan lihat kadar itu berubah,” katanya kepada media, seperti dilaporkan oleh Sputnik/RIA Novosti.
Dr Amran turut menekankan bahawa sekiranya China memilih Malaysia sebagai hab baharu untuk pemasangan produk separa siap, lebih banyak kilang akan diwujudkan, sekali gus mencipta ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Situasi ini disamakan dengan strategi Harley Davidson yang mengalihkan pengeluaran ke Thailand, memberikan manfaat besar kepada tenaga kerja dan pembekal tempatan di negara itu.
Tambah beliau, Malaysia perlu menggunakan hubungan diplomatik yang erat dengan China untuk mendapatkan kelebihan dalam konflik perdagangan ini, terutamanya kerana negara ini dikenakan tarif jauh lebih rendah berbanding China oleh AS.
Dalam pada itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bakal mengetuai delegasi ke Washington hujung bulan ini bagi berbincang mengenai kadar tarif balas yang dikenakan oleh AS ke atas barangan dari Malaysia, menurut laporan Bernama.
Dalam kalangan negara ASEAN, beberapa negara Indochina mencatat kadar tarif tinggi dari AS, dengan Kemboja paling tinggi pada 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus) dan Myanmar (44 peratus). Thailand pula dikenakan tarif sebanyak 36 peratus, Indonesia 32 peratus, manakala Malaysia dan Brunei masing-masing 24 peratus. Filipina pada kadar 17 peratus dan Singapura pula hanya dikenakan tarif asas sebanyak 10 peratus.