Seorang pemimpin sebuah yayasan pondok di Lombok Barat, Indonesia telah diberkas pihak berkuasa selepas disyaki terlibat dalam kes penderaan seksual membabitkan ramai pelajar perempuan.

Menurut laporan media tempatan, individu yang dikenali dengan gelaran ‘walid’ itu dipercayai memperdaya para mangsa dengan alasan untuk melakukan ‘pensucian rahim’, satu ritual yang kononnya bersifat keagamaan.

Gambar: Gelora

Perbuatan tersebut dilaporkan berlaku di sebuah bilik secara tertutup pada waktu malam, di mana mangsa diberi harapan bahawa mereka akan melahirkan zuriat yang akan menjadi seorang wali.

Siasatan awal pihak polis mendedahkan bahawa perlakuan terkutuk ini sudah bermula sejak tahun 2016 hingga 2023, dengan hampir 20 pelajar menjadi mangsa. Walau bagaimanapun, hanya tujuh orang yang tampil membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa.

Sebahagian daripada pelajar mengaku menjadi mangsa rogol, manakala yang lain mendakwa telah dicabul.

Pendedahan kes ini tercetus apabila beberapa pelajar menonton sebuah drama Malaysia berjudul ‘Bidaah’, yang menampilkan watak seorang ketua ajaran sesat bernama Walid Muhammad Mahdi Ilman. Persamaan cerita dengan pengalaman mereka di pondok berkenaan telah memberi keberanian kepada mangsa untuk melaporkan kejadian kepada Unit Perlindungan Perempuan dan Anak (PPA) di Polresta Mataram.

Difahamkan, polis telah menyoal siasat beberapa saksi termasuk mangsa dalam usaha melengkapkan siasatan.