SEREMBAN – Lima ahli keluarga, termasuk sepasang suami isteri, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menculik seorang remaja perempuan berumur 16 tahun, bagi tujuan mendapatkan wang tebusan sebanyak RM2 juta.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kelima-lima tertuduh iaitu D Sasveena, 31; T Boharaj, 32; Farhin Muhamad Ariffin, 23; serta dua adik-beradik, P K Koshenn Kumar, 21, dan P K Siveeshinaa, 23, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Menurut kertas pertuduhan, mereka didakwa telah melarikan remaja berkenaan dari hadapan sebuah salun rambut di Jalan S2 B10, Uptown Avenue, Seremban 2 sekitar jam 5.45 petang pada 10 April lalu, dengan tujuan untuk menuntut wang tebusan.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan sebatan.

Peguam T Harpal Singh memohon agar diberi masa dua minggu untuk mengemukakan hujahan bertulis bagi permohonan jaminan.

Hakim bersetuju dengan permohonan tersebut dan menetapkan 14 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, media melaporkan mangsa telah disembunyikan oleh penculik dengan dimasukkan ke dalam beg pakaian untuk mengelak daripada dikesan ketika dipindahkan dari kenderaan ke lokasi persembunyian.

Pada 14 April, seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes ini ditembak mati oleh polis dalam satu insiden di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor.