KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis mengalami kecederaan serius selepas sebahagian daripada telinga kirinya putus akibat digigit oleh seorang lelaki warga Nigeria dalam satu kejadian di Jalan Kepong, Metro Prima, pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan, insiden berlaku kira-kira jam 10.03 pagi ketika anggota berpangkat koperal itu sedang mengiring suspek ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menaiki kenderaan peronda (MPV).

Gambar: Awani

Lelaki berkenaan sebelum itu dilaporkan mengganggu ketenteraman awam di sebuah klinik berhampiran, menyebabkan pihak polis terpaksa menahannya.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek menunjukkan tingkah laku agresif ketika hendak dimasukkan ke dalam MPV, walaupun tangannya sudah bergari di belakang. Secara tiba-tiba, dia menggigit telinga kiri anggota tersebut sehingga sebahagian daripadanya terputus,” jelas Datuk Rusdi dalam satu kenyataan.

Mangsa segera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kini berada dalam keadaan stabil.

Suspek yang berusia 38 tahun turut disahkan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 325 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dan menghalang tugas penjawat awam, serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 berkaitan pelanggaran syarat imigresen.