Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai anggota Kabinet Persekutuan susulan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menurutnya mengabaikan semangat asal pembentukan Malaysia serta hak Sabah dalam isu pemberian khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada negeri itu.
Dalam kenyataan rasmi, Ewon menjelaskan keputusan tersebut dibuat selepas meneliti penghakiman bertulis oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Celestina Stuel Galid, berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) terhadap kegagalan Kerajaan Persekutuan melaksanakan tanggungjawab di bawah Perkara 112C dan Subseksyen 2(1) Bahagian IV, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
“Saya tidak dapat menerima pendirian AGC yang dinyatakan dalam penghakiman tersebut kerana ia bercanggah dengan semangat pembentukan Malaysia dan syarat yang dipersetujui Sabah ketika menyertai Persekutuan,” katanya.
Ewon menegaskan beliau kekal berpandukan prinsip perjuangan UPKO yang berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta dokumen-dokumen utama seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Akta Malaysia yang menjamin hak Sabah dalam struktur Persekutuan.
“Adalah tidak wajar untuk saya terus berada dalam Kabinet apabila pendirian AGC jelas bertentangan dengan perjuangan UPKO. Bagi saya, langkah terbaik sepatutnya ialah memulakan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah, bukan memfailkan rayuan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pada Jun 2022, beliau pernah memfailkan tindakan saman terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah berkaitan isu 40 peratus hasil tersebut, namun menarik balik kes itu pada September 2023 bagi memberi ruang kepada rundingan rasmi.
Ewon berkata, keputusannya meletak jawatan dibuat atas dasar prinsip dan perjuangan parti, serta akan dimaklumkan secara rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui surat rasmi.
“Saya menghargai peluang yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk bersama dalam Kabinet dan memperjuangkan hak Sabah. Namun, saya perlu kekal berpegang kepada prinsip,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO akan diadakan Isnin depan bagi membincangkan hala tuju dan pelaksanaan agenda “Sabah First” sebagai landasan perjuangan parti pada masa hadapan.
